Saturday 3 December 2011

CONTOH RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN BAHASA MALAYSIA 1

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN 1
TARIKH                 :

MASA                    :
7.20 - 8.20 (60 minit)
TAHUN                  :
4
BILANGAN PELAJAR               :
28 Orang
MATA PELAJARAN         :
BAHASA MALAYSIA
TEMA                     :
YANG BAIK JADIKAN TELADAN
TAJUK                   :
MONYET YANG PINTAR
PENGETAHUAN SEDIA ADA           :
Murid mempunyai pengalaman sedia ada mengenai cara membaca dengan sebutan dan intonasi yang betul serta penghayatan yang sesuai.
OBJEKTIF PENGAJARAN      :
Di akhir pembelajaran murid dapat :
1. Membaca lancar petikan cerita ‘Monyet yang pintar’ dengan sebutan dan intonasi yang betul.
2. Mempersembahkan cerita ‘Monyet yang pintar’ dengan sebutan, intonasi dan penghayatan yang sesuai.

KEMAHIRAN PEMBELAJARAN:
5.1 Aras 2 (i) – Membaca lancar bahan sastera dan bukan sastera 
                            dengan sebutan dan intonasi yang betul.
2.1 Aras 3 (i) – Mempersembahkan cerita dengan sebutan, intonasi dan
                            penghayatan yang sesuai.
NILAI-NILAI MURNI                   :
Berdikari, Berani,Kerajinan
BAHAN BANTU MENGAJAR          :
Buku Teks Bahasa Malaysia Tahun 4, Komputer/LCD, Petikan ‘Monyet yang pintar’,  Gambar haiwan liar
BAHAN RUJUKAN             :
Buku Teks Bahasa Malaysia Tahun 4, Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Tahun 4 Bahasa Melayu



Langkah Penyampaian:
Langkah
Isi pelajaran
Kaedah Penyampaian

Set Induksi
5  Minit

Contoh soalan:
1. Namakan haiwan liar yang terdapat di dalam gambar?

2. Apakah perbezaan haiwan-haiwan di dalam gambar ini?

Aktiviti:
1. Guru menunjukkan gambar haiwan liar yang terdapat di dalam hutan.
2. Guru bersoal jawab dengan murid berkaitan dengan gambar yang ditunjukkan.
3. Guru mengaitkan hasil perbincangan dengan isi pelajaran hari itu.

Bahan:
Gambar haiwan liar


Langkah 1
15 Minit

Membaca lancar petikan cerita ‘Monyet yang pintar’ dengan sebutan dan intonasi yang betul.


Aktiviti:
1. Guru menayangkan petikan cerita ‘Monyet yang pintar’ kepada murid.
2. Guru membaca petikan cerita ‘Monyet yang pintar’ dengan sebutan dan intonasi yang betul.
3. Murid membaca senyap petikan yang diberikan.
4. Murid membaca kuat petikan cerita ‘Monyet yang pintar’ dengan sebutan dan intonasi yaang betul berpandukan tunjuk ajar guru.

Bahan: 
Buku Teks Bahasa Malaysia Tahun 4, Komputer/LCD, Petikan ‘Monyet yang pintar’


 Langkah 2
15 Minit

Mempersembahkan cerita ‘Monyet yang pintar’ dengan sebutan, intonasi dan penghayatan yang sesuai.


Aktiviti:
1. Guru memberikan contoh persembahan cerita dengan mengunakan sebutan, intonasi dan penghayatan yang sesuai.
2. Guru dan murid berbincang tentang cara mempersembahkan cerita ‘Monyet yang pintar’ dengan sebutan, intonasi dan penghayatan yang sesuai.
3. Murid berbincang dalam kumpulan tentang aktiviti yang akan dijalankan.

Bahan:
Buku Teks Bahasa Malaysia Tahun 4, Komputer/LCD, Petikan ‘Monyet yang pintar’


Langkah 3
 20 Minit

Mempersembahkan cerita ‘Monyet yang pintar’ dengan sebutan, intonasi dan penghayatan yang sesuai.






Aktiviti:
1. Setiap kumpulan  mempersembahkan cerita ‘Monyet yang pintar’ dengan sebutan, intonasi dan penghayatan yang sesuai.
2. Guru memberi tunjuk ajar kepada setiap kumpulan yang berkenaan.
Bahan:
Buku Teks Bahasa Malaysia Tahun 4, Komputer/LCD, Petikan ‘Monyet yang pintar’


Penutup
5 Minit

Rumusan

Aktiviti:
1. Guru berbincang dengan murid berkaitan dengan isi pelajaran hari ini.
2. Guru merumuskan isi pelajaran untuk hari ini.







Petikan
Monyet yang pintar

            Binatang-binatang kecil di hutan tidak senang hati dengan kedatangan singa di tempat mereka. Singa itu mengakui dirinya raja walaupun sebenarnya dia bukan raja di hutan itu. Singa itu sangat ganas. Binatang-binatang yang lemah sering menjadi mangsanya. Oleh itu, binatang-binatang di hutan tersebut mencari jalan untuk menghapuskan singa itu.
            “Biar saya yang pergi berjumpa dengan singa itu. Saya akan merayu kepadanya agar tidak menangkap haiwan di hutan ini lagi,” kata kambing tua kepada kawan-kawannya. Dia sanggup berkorban nyawa demi keselamatan rakan-rakannya.
            Semasa pertemuan dengan kambing, singa itu berkata dengan angkuh.
            “Kalau kamu tidak mahu aku menangkap binatang di hutan ini lagi, kamu hendaklah mempersembahkan makanan kepada aku setiap  hari.” Terdiam semua binatang apabila kehendak singa itu disampaikan oleh kambing tua kepada mereka.
            Naik darah kijang mendengar kata-kata singa itu. Dia berfikir sejenak lalu berkata dengan marah.
            “Jangan beri muka kepada singa yang kejam itu. Ada hati dia mahu makan kita. Kita mesti membunuhnya sebelum kita menjadi mangsa yang seterusnya.”
            “Tapi bagaimana, kijang?” sampuk arnab yang hanya berdiam diri sejak tadi.
            “Kita masih ada jalan. Biar saya yang menjadi mangsanya yang pertama,” kata monyet dengan berapi-api.
            Esoknya, monyet pergi menyerah diri kepada singa itu.
            “Mengapa lambat, ha? Engkau tahu tak, aku lapar?” herdik singa.
            “Ma ... ma ... maafkan patik tuanku, semasa dalam perjalanan ke sini, patik telah ditangkap oleh seekor singa yang mengaku dirinya raja,” sembah monyet pura-pura ketakutan.
            “Apa? Raja? Hanya aku raja di hutan ini! Tunjukkan kepadaku tempat si bedebah itu. Biar aku tamatkan riwayatnya!” kata singa dengan bengis. Panas hati singa mendengar penjelasan monyet.
            Monyet pun membawa singa ke sebuah perigi. Apabila tiba di tepi perigi tersebut, monyet pun berkata, “Itu dia singa yang mengaku dirinya raja, tuanku,” Monyet menunjukkan bayang-bayang singa di dalam perigi itu. Tanpa membuang masa, singa pun terjun ke dalam perigi tersebut untuk membunuh Sang Singa yang dilihatnya itu. Monyet riang kerana rancangannya berjaya.
            Semenjak itu, binatang-binatang di hutan tersebut hidup dengan aman dan bahagia.








No comments:

Post a Comment